NEW DELHI: Pengasas Hotmail, Sabeer Bhatia, yang menjadi jutawan sekelip mata selepas menjual perkhidmatan web e-mailnya kepada Microsoft, merancang untuk melangsungkan majlis perkahwinannya di Pulau Langkawi bulan Mac ini. (readmore)
Sabeer, 40, yang dilahirkan di India, memilih tempat peranginan Taj Rebak Marina Resort, Langkawi, sebagai venue majlis perkahwinan beliau dengan Tania Sharma pada 9 Mac ini.
"Kami mahukan pulau yang eksklusif untuk majlis ini, Sabeer mulanya merancang untuk mengadakannya di Hawaii, tapi ia agak jauh. Kami juga ada menimbangkan kemungkinan untuk mengadakannya di Phuket, Bangkok, atau Koh Samui (Thailand), tapi akhirnya kami memilih Langkawi," kata R.K. Sharma, bakal bapa mentua Sabeer, kepada Bernama.
Kira-kira 270 jemputan, termasuk tokoh-tokoh penting India seperti Menteri Penerbangan Awam Praful Patel dijangka akan menghadiri majlis itu.
"Langkawi merupakan pulau yang eksklusif dan kami sudah menempah keseluruhan hotel itu untuk para jemputan kami. Acara akan diadakan selama dua hari, dimulakan dengan majlis 'Sangeet', iaitu awal majlis yang dihiasi dengan persembahan tarian dan muzik pada hari pertama, dan diikuti majlis perkahwinan pada hari berikutnya," tambah Sharma.
Perkhidmatan kereta kabel di Langkawi turut ditempah selama dua jam pada hari majlis perkahwinan itu, khusus buat para jemputan, dan para jemputan juga akan dihiburkan oleh dendangan muzik, deejay, dan penyanyi jemputan yang dibawa khas dari India.
Pakar komputer itu menjual perkhidmatan Hotmailnya dengan harga USD400 juta (1USD=RM3.20)pada tahun 1997, sebelum beliau mencapai umur 30 tahun.
Beliau sebelum ini bertunang dengan seorang peguam korporat India yang berpejabat di Amerika pada tahun 2004, namun tali pertunangan itu terputus selepas tiga bulan kemudian.
Sabeer, anak kepada seorang pegawai tentera dilahirkan di Chandigarh, Punjab, menuntut di Birla Institute of Technology and Science di India sebelum melanjutkan pengajiannya ke program Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Stanford.
Disember lepas Sabeer mengikat tali pertunangan dengan Tania, ahli perniagaan dari Mumbai, pewaris Kumpulan Baidyanath, salah sebuah pengeluar terbesar ubat-ubatan Ayurvedic. BERNAMA