Salam. Sekali lagi politik negara bergolara. Belum selesai masalah dalaman yang dihadapi oleh UMNO, masalah tentang teraju pentadbiran, masalah tentang parti-parti politik, kini, pengumuman oleh Tun Mahathir untuk keluar daripada parti yang selama ini beliau juangkan dengan segala keringat selama puluhan tahun lamanya. Saya disini, bukan hendak memihak kepada sesiapa, apa yang ingin saya kongsi hanyalah satu pandangan dan ulasan seorang doktor dari Johor tentang tindakan Tun keluar daripada parti. Setelah membaca ulasan beliau, saya amat bersetuju dan bersependapat dengan apa yang diperkatakan oleh beliau. Disini, saya ingin berkongsi ulasan tersebut. Sila tekan readmore untuk bacaan seterusnya.
Tajuk : Jangan 'potong kaki' tidak berpenyakit
Sumber : Utusan Online
Penulis : Dr. Mohd. Azam Rauzan
Izinkan saya untuk memberi sedikit ulasan mengenai tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk keluar UMNO semalam. Sebagai ahli yang membesar dan berjuang semasa era Tun Mahathir menerajui UMNO, saya amat sedih dan terharu. Namun bagi saya, tindakan Tun untuk keluar daripada UMNO adalah satu tindakan yang amat memalukan saya sebagai ahli UMNO.Bagi saya, tindakan Tun keluar parti adalah ibarat, "Habis madu sepah dibuang". Saya faham dan yakin berjuta lagi orang Melayu serta ahli UMNO dapat rasakan apa yang mereka sedang lalui ketika ini, namun tindakan untuk keluar parti adalah satu tindakan amat memalukan. Lebih-lebih lagi Tun yang selalu melaung-laungkan dalam setiap ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO ketika menjadi presiden bahawa pemimpin tidak penting, tapi yang penting adalah parti.
Baru beberapa hari yang lepas, semasa Tun memberi ucaptama di Johor Bahru bagi merasmikan lawan Web Johor MyKmu.Net, saya ada bertanya dalam sesi soal jawab, apakah dengan peletakan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO boleh mengembalikan kegemilangan parti dalam pilihan raya umum akan datang, walhal yang ditolak rakyat dalam PRU 12 adalah Barisan Nasional yang terdiri daripada beberapa parti yang dilanda masalah seperti MIC, MCA, Gerakan dan PPP?
Bagi saya walau siapa pun yang menerajui umno, tetapi jika MIC, MCA, Gerakan dan PPP serta parti parti lain dalam BN tidak dapat menambat hati rakyat, kita jangan mimpi BN akan menerajui lagi kerajaan dalam PRU yang akan datang.
Dalam mengulas soalan saya, Tun ada mengatakan bahawa sekiranya UMNO kuat maka Barisan Nasional akan kuat semula. Namun, tindakan Tun amat mengecewakan saya kerana apa yang sebenarnya Tun lakukan (keluar parti) adalah melemahkan UMNO dan bukan membantu UMNO.
Bukankah Tun selalu cakap bahawa sebagai doktor, kalau kaki yang mengalami gangrene, Tun akan potong. Tetapi saya berpendapat dengan tindakan Tun keluar parti samalah seperti Tun telah memotong kaki yang salah.
Apa yang Tun serta pemimpin UMNO lain patut buat ialah memberikan kata dua atau memberikan tekanan kepada parti-parti komponen yang bermasalah untuk memperbetulkan diri mereka agar dapat diterima rakyat dan bukannya menuding jari kepada Pak Lah.
Apakah kaum India di Malaysia dapat menerima MIC selagi S. Samy Vellu masih berkuasa dan berlagak macam hero Hindustan? Apakah kaum Cina boleh menerima MCA sebagai parti yang mewakili mereka sedangkan pemimpin parti itu asyik sibuk memperbetulkan masalah dalaman, skandal serta pengintip rahsia yang hanya diketahui oleh mereka?
Apakah Gerakan boleh menawan balik hati rakyat Pulau Pinang dalam pilihan raya akan datang dengan lagak bekas Presidennya yang selalu menyinggung perasaan rakyat Malaysia? Begitu juga dengan PPP?
Orang Melayu dan ahli UMNO harus sedar bahawa sokongan majoriti orang Melayu adalah yang amat kuat serta tanpa berbelah bahagi kecuali pada beberapa kerusi yang tidak dapat dielakkan. Yang rakyat tolak adalah calon-calon MIC, MCA dan Gerakan serta PPP, lantaran memberikan kesan pada Barisan Nasional. Jadi tak perlulah kita melatah tidak tentu pasal. Perjuangan dan hidup harus diteruskan.
Sebagai ahli profesional muda hasil daripada DEB dan sebagai mantan ADUN Penawar, Johor, saya masih setia untuk memberikan keringat serta sokongan yang tidak berbelah bahagi jiwa dan raga kepada UMNO. Walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat, tetapi saya tetap berpegang kepada nasihat Tun bahawa kepentingan parti mengatasi segala-segalanya.
Ayuh orang Melayu dan ahli-ahli UMNO, marilah kita bersatu hati dan berdoa agar Allah melindungi orang Melayu dan parti keramat UMNO serta pemimpin agar diberi taufik dan hidayah untuk melakukan muhasabah serta tindakan yang terbaik demi bangsa, agama Islam dan negara.
- dr. mohd. azam rauzan
Mantan ADUN Penawar, Johor.


















0 comments:
Post a Comment